Monday 9 June 2014

Hehehe

Walau aku pencinta kucing, tapi aku bukan lah seorang yang baik sangat tau. Aku pun manusia biasa, ada kelemahan, ada darjah kemarahannya!

Obses

Aku pun tidak pasti mengapa aku begitu obses dengan kucing. Padahal aku bukanlah kategori pencinta kucing maut. Memang dari kecil aku dibesarkan dengan kucing di sekeliling. Kerana emak  memang suka memelihara kucing. Adik-adikku juga suka kucing sampaikan dulu adik lelakiku sanggup membawa anak kucing tidur satu selimut dengannya sampai kucing terberak dalam selimut dia.

Perasaan sangat suka kepada kucing hadir semasa kami menetap di rumah banglo adik iparku apabila ada ibu kucing melahirkan 3 ekor anaknya di stor rumah. Semenjak itu, aku mula mempelajari dan memahami tabiat kucing.

Selepas berpindah ke rumah sendiri di corner lot, obses aku semakin menjadi-jadi. Ada saja kucing jalanan yang aku kutip dan aku pelihara di rumah. Sehinggakan aku sediakan 2 buah rumah kucing dan beberapa biji sangkar kucing. Telah beribu-ribu duit dihabiskan untuk makan minum, ubat-ubatan, rumah/sangkar kucing. Alhamdulillah mungkin sudah takdir dan rezeki Allah rumahku yang agak jauh dari orang lain memberi keselesaan untuk aku memelihara banyak kucing. Setakat ini ada 30 ekor kucing di rumahku.

Sepanjang beberapa tahun ini, sudah banyak juga kucing jagaanku dan gelandangan yang mati kerana sakit, dilanggar dan kemalangan. Mereka datang dan pergi membawa seribu kenangan kepadaku. Semuanya dikuburkan di laman rumahku tanpa tanda. Biar lah. Sekurang-kurangnya semasa hayatnya mereka pernah menikmati makanan yang sedap, dakapan kasih sayang dan perhatian manusia kecil aku dan suami. 

Hidup mati ketentuan Allah. Tidak semestinya kucing jagaan manusia akan kekal hidup sihat selamanya. Dan tidak semestinya kucing gelandangan cepat mati dan tidak sihat. Semuanya ketentuan Allah. Apa boleh dibuat aku adalah berusaha memberi makanan, menjaga kesihatan dan kasih sayang buat mereka semasa hayatnya.

Buat mereka yang tidak sukakan kucing, tidak mengapa, cuma jangan didera kucing itu, jangan dihambat seperti pengemis. Jika tidak suka, halau lah dengan santun kerana mereka juga makhluk Allah. Dunia ini bukan milik kita selamanya. Apa lah hanya kerana tidak sukakan bau mereka, kencing berak mereka sampai dibunuh begitu sekali. Apa lah salahnya jika dibersihkan saja dengan air. Rumah yang cantik dan bersih bukan boleh dibawa masuk ke kubur. Berpada lah kalau sayangkan kebersihan dan kecantikan rumah sekali pun. Kalau lah semua manusia bencikan kucing, ke mana lagi harus mereka membawa diri sedang kejadian mereka Allah tetapkan untuk berkeliaran bersama manusia. Kejamkah Allah menghidupkan kucing di kalangan manusia kalau hanya untuk disakiti manusia? Mengapa ular dan harimau tidak dijadikan Allah di sekeliling kalangan manusia? Mengapa ular dan binatang liar lain dijadikan Allah hidup di dalam habitat hutan, jauh dari manusia? Kerana hadirnya kucing adalah untuk disayangi dan menyayangi manusia. Mereka tidak berbahaya kepada manusia. Tapi masih dibenci manusia. Kadang-kadang ular pula lebih disayangi manusia. Pelik!

Kesedihan tetap ada dengan seribu sesalan tiap kali ada kucingku atau gelandangan yang mati. Namun aku sedar dunia ini hanya pinjaman. Sudah ketetapan Allah begitu. Bersabar. Akan ada yang menggantikan yang telah pergi.

40 tahun

Kawan kata bila usia perkahwinan melebihi 15 tahun, objektif kehidupan akan berubah. Hidup menjadi lebih ringkas. Kehendak pun tidak lagi banyak seperti awal muda-muda dulu. Begitu agaknya pusingan kehidupan. Datang dan pergi...

Kehendakku kini juga berbeza. Tidak mahu lagi yang serabut-serabut (complicated?). Mahu hidup yang lebih tenang dan mudah. Makan pun yang ringkas-ringkas sahaja.

Mencintai kehidupan yang sedia ada dianugerahkan Tuhan sangat menenangkan. Kita yang tidak dianugerahkan kekayaan jutaan mungkin saja tidak perlukan semua kemewahan itu:
* Duit yang banyak untuk ke luar negara? Tidak perlu kerana aku tidak suka melancong ke luar negara. Takut naik kapal terbang dan berjalan di tanah asing.
* Duit yang banyak untuk membeli rumah mewah yang besar? Tidak perlu kerana aku tidak larat untuk membersihkan dan menguruskan rumah yang besar. Apa lagi aku sangat takut pada gelap dan hantu?
* Duit yang banyak untuk membeli makanan mewah dan sedap-sedap? Tidak perlu kerana aku tidak makan makanan yang banyak mewah-mewah.
* Duit yang banyak untuk membeli pakaian yang cantik dan mewah? Tidak perlu kerana aku hanya berpakaian biasa.

Jadi apa perlunya kekayaan itu semua? Makanya kekayaan tidak sesuai untukku. SEDERHANA SAJA LAH...

Yang kuperlukan adalah:

* Wang yang cukup untuk membeli keperluan makan minum, kesihatan dan tempat tinggal kucing-kucingku dan kucing-kucing gelandangan.
* Kesihatan yang baik untuk beramal dan menjaga kucing-kucingku dan kucing gelandangan.

Moga dilimpahkan kesederhanaan dan kesihatan yang baik buat suamiku. Amin...

Wednesday 4 June 2014

Abang Putih

Abang Putih telah berjumpa penciptaNya pada 3 Jun 2014 di usia lebih kurang 3-4 tahun...