Monday 12 October 2009

Tip Berjimat Cermat - MESTI CUBA!

quote drp web orang lain

TIP AMALAN BERJIMAT CERMAT

Salah satu cara pengurusan bijak dan kreatif dalam kewangan keluarga ialah dengan berjimat cermat. Sesungguhnya orang yang suka membazir itu adalah saudara syaitan. Berikut adalah beberapa tip untuk berjimat cermat dalam urusan kewangan keluarga untuk dijadikan panduan kita bersama:

Tip 1: Sediakan bajet kewangan keluarga

Ukurlah baju di badan sendiri. Elakkan berbelanja di luar kemampuan. Melalui bajet kewangan, perbelanjaan dapat dikawal. Utamakan yang utama bagi keperluan keluarga.

Tip 2: Merancang kewangan untuk masa depan

Sediakan payung sebelum hujan. Wujudkan simpanan tetap atau tabungan untuk masa depan atau kecemasan. Boleh juga membuat simpanan dalam skim takaful yang memberikan manfaat perlindungan yang tidak kita dapati dengan simpanan biasa. Bagi mereka yang berminat dengan amanah saham, pilihlah yang terbaik untuk membuat pelaburan.

Tip 3: Masak sendiri

Kurangkan makan di kedai. Ini lebih jimat, terutama bagi keluarga yang ramai. Air tangan ibu atau isteri akan mengikat kasih sayang antara keluarga serta lebih terjaga kebersihannya. Secara tak langsung keluarga yang sihat akan mengurangkan kos perubatan yang tidak kurang mahalnya.

Tip 4: Bawa bekal ke pejabat atau sekolah

Jangan malu untuk membawa bekal ke pejabat. Malahan anak-anak juga perlu diajar membawa bekal ke sekolah. Dengan cara ini kita dapat berjimat paling kurang RM3 sehari. Duit yang dijimatkan ini boleh dijadikan simpanan untuk masa hadapan dan kecemasan.

Tip 5: Elakkan memandu kenderaan sendiri

Walaupun harga minyak telah turun namun amalan berjimat akan sentiasa menguntungkan kita. Gunakan kenderaan awam seperti bas, komuter atau LRT sebagai alternatif. Atau boleh juga berkongsi kereta dengan rakan sepejabat.

Tip 6: Jimatkan penggunaan air, elektrik dan gas

Keluarga perlu dididik untuk menghargai nikmat ini dan elakkan dari pembaziran. Tutup peralatan elektrik di ruang yang tidak digunakan. Berpada-pada menggunakan pendingin udara, begitu juga air di bilik mandi ketika mandi atau mencuci.

Tip 7: Tanam sendiri sayur-sayuran

Serai, kunyit, daun pandan dan daun kari mudah untuk ditanam. Bagi yang tidak mempunyai tanah dan ruang masih boleh menanamnya di dalam pasu. Begitu juga sayuran seperti sawi, kangkung, cili malahan pisang juga tidak susah untuk ditanam. Mengamalkan cara ini akan dapat menjimatkan perbelanjaan keluarga dari perlu membeli sayur-sayuran yang telah ditanam seterusnya dapat mengisi masa lapang bersama keluarga.

Tip 8: Elakkan membawa anak-anak ketika membeli belah

Ini satu langkah yang baik, kerana kehadiran anak-anak biasanya mendorong kita membeli barang-barang yang tidak sepatutnya dibeli. Seelok-eloknya senaraikan barang-barang yang ingin dibeli terlebih dahulu sebelum keluar membeli belah. Cara ini dapat menjimatkan masa dan juga menggelakkan tabiat boros berbelanja.

No comments: