Thursday 3 July 2014

Berhenti Kerja Kerajaan

Semenjak dah masuk umur 40 tahun ini, telah berkali-kali aku memikirkan rancangan untuk berhenti kerja kerajaan, walaupun baru 6 tahun aku berkhidmat dengan kerajaan. Banyak perkara perlu dipertimbangkan apabila hendak berhenti. Hakikatnya aku merasakan tidak lagi seronok bekerja dengan kerajaan. Sudah tidak ada feel. Mungkin juga tempat kerja ini yang sudah tidak best atau aku ini sendiri yang sudah membosankan! Bukan semudah itu hendak berhenti dengan niat yang telah ada di hati. Perlu berfikiran rasional dan menjangkakan apa yang akan berlaku kelak. Kenapa masih tidak berani untuk berhenti? Rasanya kerana diri sendiri tidak percaya dengan rezeki Allah agaknya. Kedhaifan diri. Diri masih takut dengan bayang-bayang bahawa hanya kerajaan yang mampu memberi pendapatan selamat padahal di muka bumi ini masih banyak ruang untuk mencari rezeki asalkan rajin berusaha.  Agaknya sebab sudah terbiasa dengan comfort zone? Tak berani melangkah ke dunia luar? Terasa tiada sumbangan kepada masyarakat pun apabila bekerja di sini. Semuanya terasa hambar dan kosong. Dengan dasar dan polisi serta keputusan pihak atasan yang rasanya tidak menjaga kebajikan pelajar dan ibu bapa serta orang awam, terasa seperti melakukan kerja yang sia-sia. Tiada makna! Kadang-kadang tertanya-tanya apa tujuan semua ini dilakukan kalau ia akhirnya tidak mendatangkan faedah? Dengan terkejar-kejar dari pagi hingga ke petang, ke mana semua ini pergi?


Tanyalah mana-mana isteri-isteri atau ibu-ibu pasti kebanyakan akan mengiakan lebih betah duduk di rumah menguruskan rumahtangga dan anak-anak. Pilihan bekerja perlu dibuat atas tuntutan kehidupan zaman sekarang dengan perbelanjaan yang meningkat setiap tahun. Dengan hutang sana sini yang perlu dilunaskan setiap bulan, ramai terpaksa membuat pilihan bekerja.

Sekiranya pilihan berhenti kerja dibuat, beberapa perancangan perlu dibuat setelah dikaji dengan sebaiknya. Perlu ada perancangan apa yang akan dibuat selepas berhenti. Kerja apa yang akan dibuat untuk mendapatkan pendapatan. Apa kebolehan diri yang boleh digunakan yang boleh mendatangkan kebaikan.

Apa yang boleh dibuat adalah berdoa kepada Allah semoga dapat memberi petunjuk tindakan dan pilihan mana yang lebih baik. Bersabar di Ramadhan yang mulia.......

No comments: