Aku pun tidak pasti mengapa aku begitu obses dengan kucing. Padahal aku bukanlah kategori pencinta kucing maut. Memang dari kecil aku dibesarkan dengan kucing di sekeliling. Kerana emak memang suka memelihara kucing. Adik-adikku juga suka kucing sampaikan dulu adik lelakiku sanggup membawa anak kucing tidur satu selimut dengannya sampai kucing terberak dalam selimut dia.
Perasaan sangat suka kepada kucing hadir semasa kami menetap di rumah banglo adik iparku apabila ada ibu kucing melahirkan 3 ekor anaknya di stor rumah. Semenjak itu, aku mula mempelajari dan memahami tabiat kucing.
Selepas berpindah ke rumah sendiri di corner lot, obses aku semakin menjadi-jadi. Ada saja kucing jalanan yang aku kutip dan aku pelihara di rumah. Sehinggakan aku sediakan 2 buah rumah kucing dan beberapa biji sangkar kucing. Telah beribu-ribu duit dihabiskan untuk makan minum, ubat-ubatan, rumah/sangkar kucing. Alhamdulillah mungkin sudah takdir dan rezeki Allah rumahku yang agak jauh dari orang lain memberi keselesaan untuk aku memelihara banyak kucing. Setakat ini ada 30 ekor kucing di rumahku.
Sepanjang beberapa tahun ini, sudah banyak juga kucing jagaanku dan gelandangan yang mati kerana sakit, dilanggar dan kemalangan. Mereka datang dan pergi membawa seribu kenangan kepadaku. Semuanya dikuburkan di laman rumahku tanpa tanda. Biar lah. Sekurang-kurangnya semasa hayatnya mereka pernah menikmati makanan yang sedap, dakapan kasih sayang dan perhatian manusia kecil aku dan suami.
Hidup mati ketentuan Allah. Tidak semestinya kucing jagaan manusia akan kekal hidup sihat selamanya. Dan tidak semestinya kucing gelandangan cepat mati dan tidak sihat. Semuanya ketentuan Allah. Apa boleh dibuat aku adalah berusaha memberi makanan, menjaga kesihatan dan kasih sayang buat mereka semasa hayatnya.
Buat mereka yang tidak sukakan kucing, tidak mengapa, cuma jangan didera kucing itu, jangan dihambat seperti pengemis. Jika tidak suka, halau lah dengan santun kerana mereka juga makhluk Allah. Dunia ini bukan milik kita selamanya. Apa lah hanya kerana tidak sukakan bau mereka, kencing berak mereka sampai dibunuh begitu sekali. Apa lah salahnya jika dibersihkan saja dengan air. Rumah yang cantik dan bersih bukan boleh dibawa masuk ke kubur. Berpada lah kalau sayangkan kebersihan dan kecantikan rumah sekali pun. Kalau lah semua manusia bencikan kucing, ke mana lagi harus mereka membawa diri sedang kejadian mereka Allah tetapkan untuk berkeliaran bersama manusia. Kejamkah Allah menghidupkan kucing di kalangan manusia kalau hanya untuk disakiti manusia? Mengapa ular dan harimau tidak dijadikan Allah di sekeliling kalangan manusia? Mengapa ular dan binatang liar lain dijadikan Allah hidup di dalam habitat hutan, jauh dari manusia? Kerana hadirnya kucing adalah untuk disayangi dan menyayangi manusia. Mereka tidak berbahaya kepada manusia. Tapi masih dibenci manusia. Kadang-kadang ular pula lebih disayangi manusia. Pelik!
Kesedihan tetap ada dengan seribu sesalan tiap kali ada kucingku atau gelandangan yang mati. Namun aku sedar dunia ini hanya pinjaman. Sudah ketetapan Allah begitu. Bersabar. Akan ada yang menggantikan yang telah pergi.
No comments:
Post a Comment